Suri. Nama yang ringkas. Tapi dimiliki oleh
sesusuk tubuh yang telah berjaya mencuri hatiku. Nama persis anak pelakon terkenal
Tom Cruise dan Katie Holmes. Aku mula mengenalinya apabila kami sama sama
mengikuti satu program universiti ke sebuah pulau di pantai barat negeri Sabah.
Dia mungkin tidaklah
secantik Lee Da Hea, tapi bagiku dia memiliki tarikan yang tersendiri. Senyuman
manis yang mampu mencairkan bukan sekadar hati malahan juga besi. Menjadi
dambaan ramai lelaki. Memiliki keperibadian Muslimah sejati. Namun begitu, aku
hanya memendamkan sahaja rasa yang terbuku di jiwa, kerana aku sedar siapalah
diri ini; tiada rupa, tiada juga harta.
Cuti semester akan bermula dua minggu lagi.
Mahasiswa mahasiswi sedang ligat
berhempas pulas berjuang dan berjihad menjawab soalan peperiksaan. Meskipun
jasad masih di dewan peperiksaan, namun ku tahu bahawa semangat dan roh setiap
pelajar terlebih dahulu sudah terbang ke kampung halaman masing masing. Jasad
yang tinggal sekarang hanyalah jasad yang kosong, yang mengharapkan peperiksaan
cepat sahaja berlalu dan perasaan ingin saja berlari ke rumah dimana keluarga
sedang menunggu. Setia menunggu.
Namun tidak bagiku, cuti sekadar sebulan
ini, aku merancang untuk tidak balik bercuti di kampung. Sudah lama ku
merancang rancang dengan teman sebilikku untuk tinggal sahaja di Sabah
sepanjang cuti. Ya, Sabah juga pencuri. Mencuri hatiku. Sepertimana ia mencuri
hati pendatang asing tanpa izin yang saban hari semakin menyaingi bilangan
penduduk asal negeri ini sendiri.
Inginku meneroka flora dan fauna yang
terdapat di perut hutan negeri ini. Kehijauan alam adalah kepuasan bagiku. Kepenatan
menyusur denai dan hutan tebal akan hilang serta merta apabila meneguk air
sejuk yang mengalir dari celah celah bukit. Keringat yang menitis melencunkan
baju dirasakan satu kepuasan dan ketenangan apabila melihat pemandangan yang
indah dari puncak Gunung Kinabalu. Perjalanan yang memakan masa berjam jam amat
sekejap dirasakan apabila mencelupkan kaki di Simpang Mengayau-Tips of Borneo.
Kepenatan 5 bulan belajar dan memerah otak selama 2 minggu peperiksaan hilang
sekelip mata apabila tenggelam timbul dibawa rakit menelusuri Sungai Padas. Ini
belum lagi dikira apabila berjaya menewaskan berbagai spesis ikan yang menjadi
penghuni di dasar sungai di sini.
Indahnya alam. Oh, jangan memuji alam
ciptaan, pujilah Pencipta yang menciptakan keindahan ini. SUBHANALLAH-MAHA SUCI
ALLAH~
Cuti bermula. Kolej mulai lengang. Kawan
kawanku sudah ramai yang mengangkat kaki meninggalkan bumi universiti. Ada yang
tersenyum sumbing, ada yang muka bangga dapat balik. Muka bangga mesti tunjuk
bila nak balik. Untuk menjeleskan aku mungkin, eleh. Kesedihan menjawab kertas
Biokimia Makanan tidak lagi dihiraukan. Pasrah dan berserah. Yang ditunjukkan
sekarang adalah muka kampung halaman.
Sebelum berangkat
pulang ke kampungnya di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu,
sempat Suri sms kepadaku mengucapkan selamat tinggal. Pelik. Tak pernah dia sms
aku, melainkan atas dasar kerja. Tapi aku sedar, kami mulai rapat apabila sama
sama terlibat dalam satu program peringkat universiti. Dia merupakan Pengarah
Program manakala aku hanyalah Timbalan Pengarah. Aku tau kami hanya rapat atas
urusan kerja sahaja. Dia sangat profesional. Dia tidak akan sesekali
berperasaan kepadaku. Aku cukup yakin. Lagipun aku selalu buat dia marah.
Selalu menyakat dia. Aku memang sengaja-sebab dia lagi cantik masa marah,hehe.
Biarlah aku sahaja yang memendam rasa. Mungkin satu petang nanti rasa ini akan
beransur pergi. Terbang ditiup angin senja.
Minggu pertama cuti, seperti yang dirancang,
aku dan Azri kawan sebilikku itu mula melaksanakan segala perancangan kami.
Kami bermula dengan menjelajah sekitar lubuk untuk memancing ikan. Hasilnya
memang berbaloi. Berbaloi tak balik cuti apabila setiap umpan yang dilabuhkan,
pasti ada sahaja ikan ikan besar yang sudi menyentap.
Hasil tangkapan kami bakar dan ratah tepi
sungai. Memang puas merasa hasil titik peluh sendiri, kepenatan tidak dirasa.
Pada satu malam, satu sms yang menerjah
masuk ke inbox hensetku sedikit menghilangkan rasa excitedku menjelajah flora
dan fauna negeri Sabah. Sms daripada Suri.
‘salam awk, mf ggu awk. Sy jz nk bgtau mggu
dpn sy akn brtunang, jmputlah awk dtg ke rmh. Sblum bukak sem ni jgk sy khwin.
Jemputlah awk dtg ye. –suri- ‘
Terang. Dia bukan milikku. Padan muka aku.
Suka sangat memendam hati, sekarang makan lah hati sorang sorang,huhu .
Sekarang bukan lagi masa luahkan isi hati. Suri akan menjadi hak orang lain.
Kami hanya ditakdirkan sebagai kawan sahaja. Dan bagiku, kebahagiaan orang yang
aku sayangi, lebih mengatasi kebahagiaan diriku..
Aku telefon Suri, mengucapkan tahniah. Cuba
bersikap profesional meskipun dalam hati ini hanya Tuhan saja yang tahu. Memang
padan muka aku. Dulu kenapa aku penakut sangat. Sekarang bukan lagi masanya
untuk aku meluahkan segala rasa yang terbuku di dada.
Tapi aku terkejut apabila Suri menangis.
Katanya tidak pernah dia kenal pemuda yang melamarnya itu. Gambar pun tidak
pernah dilihatnya.Tapi ibunya menerima lamaran tanpa bertanya pendapatnya
dahulu. Hal ini kerana ayah Suri sedang terlantar tenat di hospital dan sangat
teringin melihat satu satunya anak tunggal mereka berkahwin sebelum dia kembali
kepada Yang Maha Pencipta. Demi menjaga maruah keluarga, dan memenuhi harapan
terakhir bapanya, terpaksa diturutkan Suri meskipun hatinya bersama orang
lain-katanya.
Apa yang boleh
aku buat, hanya mampu bersimpati. Dan bersedih pastinya. Bunga yang kuidam
bertahun lamanya, terlepas ke kumbang lain, meskipun terpaksa diterima si
bunga.
Dua hari lagi aku akan mulakan pendakian
menawan Gunung Kinabalu. Puncak yang tertinggi di Asia Tenggara. Segala
persiapan telah lama aku persiapkan. Fizikal dan mental. Meskipun mentalku
sedikit terganggu dengan kes Suri ini, namun cuba ku tepis jauh jauh. Semoga
pemandangan di puncak gunung nanti akan melupakan seketika rasa frust
menonggengku dengan kehilangan Suri.
Pada malam sebelum pendakian, kami tidur
awal. Untuk mengumpul tenaga sebanyak mungkin. Tiba tiba dalam tidurku aku
bermimpi. Arwah nenekku yang meninggal semasa aku masih tingkatan dua datang
membawaku sebentuk cincin. Katanya ini cincin daripada ibuku.
“Abang Ngah jagalah cincin ini baik baik,
berilah pada yang layak memakainya”.
Terngiang ngiang kata kata itu di gegendang
telingaku.
Tiba tiba esoknya, aku menerima panggilan
telefon daripada bapaku di kampung. Dia meminta aku balik segera kerana ada
kecemasan. Mustahak katanya. Dia meminta
aku pulang segera ke Semenanjung. Kata bapaku, dia telah siap membeliku tiket
penerbangan balik, petang itu juga.
Apa yang terbayang di tubir mataku sekarang
ialah ibuku. Mimpi malam tadi mula terbayang kembali, bagaikan sedang aku
menonton wayang gambar di GSC. Ah. Kenapa ni….. tergesa sangat abah suruh aku
balik.
_BERSAMBUNG ke Suri-Part 2
perghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh....
ReplyDeletetabik lah.. nak nanges..
ReplyDelete