Malam itu
saya lihat ibu membuka penutup tin yang diletakkan di penjuru rumah. Ibu
menggoncang goncang dan meraup butiran beras di dalam tin itu. Hanya ada dua
tin susu sahaja yang masih berbaki. Beras sudah hampir habis rupanya. Pada
siapa ibu hendak mengadu? Ayah? Saya tahu ibu tidak mahu memikirkan perkara
itu.
Ibu
mengerling ke arah kami yang masih belum makan. Saya lihat ibu ambil sedikit
beras dari dalam tin susu itu, kemudian memasukkannya ke dalam periuk. Air
dituang sehingga penuh. Setelah hampir setengah jam, ibu masukkan ke dalam
sepuluh buah pinggan yang sudah tersedia.
Bubur nasi
itu berasap. Seorang demi seorang anaknya dipanggil sehingga adik kami yang
paling bongsu. Makanlah kami sepuluh beradik ini sehingga pinggan licin bersih.
Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya.
Pagi, kami
bangun untuk bersarapan dan saya perhatikan, ibu menyalakan api untuk memasak.
Ibu mengambil baki beras di dalam tin susu. Sekali lagi ibu membuat bubur yang
cair.
Seperti
semalam juga, kami menghirup bubur sehingga habis. Bubur itu walaupun cair,
saya rasakan begitu enak sekali. Kami mengadu tidak cukup tetapi saya lihat ibu
menyibukkan diri membasuh pinggan dan periuk. Ibu seperti tidak mahu melayan
permintaan kami.
Tengah hari
itu pun begitu. Bubur nasi yang cair untuk kami sepuluh beradik. Setiap kali
waktu makan, saya perhatikan ibu pasti menadah tangan bersyukur anak anaknya
tidak kebuluran. Mungkin ibu bersyukur hari ini kami dapat menyambung nyawa
untuk sehari dua lagi. Mungkin juga ibu bersyukur kerana, walaupun hidup miskin
dan susah tetapi kami tidak meminta minta. Kemudian, saya lihat ibu berpaling
ke belakang.
Masuk hari
ketiga kakak kami yang sulung memandang ke arah ibu yang sedang duduk
membelakangi kami adik beradik. Saya tidak menyangka, seperti saya, kakak juga
perasan ibu akan membelakangkan kami semasa menikmati bubur cairnya. Yang
kedengaran hanya sudu bersentuhan dengan mangkuk.
Saya tidak
tahu kenapa. Adakah ibu mahu makan sendirian dan tidak mahu diganggu? Atau, ibu
tidak sampai hati menatap wajah kami yang sedang kelaparan?
Perlahan
lahan kakak mengengsotkan badannya mendekati ibu. Alangkah sedihnya kakak
apabila melihat rupa rupanya ibu hanya melaga lagakan sudu di dalam mangkuknya
yang sebenarnya kosong. Tiada sebutir bubur nasi pun di dalam mangkuk ibu!
Kakak
segera berbisik kepada kami yang duduk di sekelilingnya. Adik adik yang lain
turut berbisik cerita yang sama sehinggalah kepada yang bongsu. Kamudian kami
seramai sepuluh berdik sepakat menghadiahkan sesudu bubur nasi untuk ibu.
Kami sedih.
Kami tahu ibu kelaparan, tetapi ibu tidak mahu memberitahu kami. Ibu berkorban
untuk kami. Ibu sengaja melaga lagakan sudunya dengan mangkuk bagi membohongi
kami seolah olah ibu juga sedang menikmati bubur nasi yang dimasaknya.
Setelah
kami semua menghadiahkan sesudu bubur, saya lihat kakak mengengsot mendekati
ibu. Kemudian kakak menghulurkan semangkuk bubur cair yang kami kongsi bersama
tadi.
“Makanlah
mak!” kata kakak, perlahan.
Ibu
berpaling memandang kakak. Tanpa menyentuh mangkuk yang dihulurkan, ibu bingkas
bangun kemudian terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Kami hanya mampu
melihat titisan titisan air mata ibu berciciran di lantai sehingga ke pintu
bilik.
#copy-paste!
(MASTIKA
Mei 2009)
#setiap hari adalah hari ibu!
##Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak! J
No comments:
Post a Comment