Aku turun ke beranda. Duduk di tangga rumah. Ketika itu, mentari masih malu malu memancarkan sirnanya. Kucapai kasut getah di bawah tangga. Ku ambil stokin, ku suakan kakiku ke dalamnya.
Sebelah.
Dua belah.
Siap.
Usai pakai kasut, ku turun ke tanah. Mencapai hendal basikal tua peninggalan arwah moyangku. Setelah kupastikan segala kelengkapan senjata telah kemas di tempat duduk belakang, ku kayuh basikal yang merupakan satu satunya hartaku perlahan lahan. Kriiukk. Kriiukkk. Bunyi rantai. Lama betul gamaknya rantai basikalku ini tidak diminyak. Hurmm..
Perjalananku berbasikal ke destinasi dituju tidaklah segitu jauh. Lebih kurang 20 minit mengayuh, sampailah aku ke tempatku mencari rezeki. Beginilah setiap hari. Aku orang desa, tidak punya harta motor kereta. Hanya basikal cabuk, aku tidak terjejas dengan kenaikan harga RON95 di pasaran. Betullah kata seorang ahli parlimen tu. Kenaikan harga minyak tidak menjejaskan orang miskin macam aku. Hanya orang kaya. Ya. Orang yang punya kenderaan beroda.
Sampai ke destinasi, ku sandarkan basikalku di sebuah pokok getah berhampiran jalan berlumpur itu. Kucapai senjataku yang kuikat kemas di pelana belakang: pisau toreh. Kucuba mengacah acah. Tajam. Baru malam tadi kuasah.
Dengan lafaz Bismillah, aku mulakan aktiviti menorehku. Inilah kerjaku. Sejak tidak lulus UPSR dulu, aku memulakan karier sebagai seorang penoreh. Biarlah. Mungkin ini rezekiku. Sekurangnya, aku tidak meminta minta. Aku tidak berhutang, aku tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Tiba tiba, sampai di barisan kedua pokok getah. Aku terpaku. Terkejut. Seekor burung hantu, berdiam di atas busut. Mukanya muram. Bersedih. Aku cuba menghalau, langsung ia tidak bergerak. Pelik juga, bukan ke burung hantu tidur ke di siang hari? Hurmm..
Aku tidak menghiraukan burung itu, kuteruskan aktiviti menorehku.
Jam 12, semua pokok siap ditoreh, aku balik.
Esoknya,
Seperti biasa.. aku meneruskan aktiviti karierku.
Sekali lagi aku terkesima. Burung hantu semalam. Masih di tempat yang sama. Ia merenung tajam ke mataku.
Matanya berair.
Menangis?
Burung pandai menangis?
Aku mula berfikiran yang bukan bukan. Rasa takut mula menjalar ke setiap urat darah. Masuk ke jantung dan dipam laju ke seluruh tubuh.
Kuatkan hati. Satu suara berbisik di dalam mindaku. Oh, suara hati rupanya.
Aku mampu menahan rasa takutku. Jam 12, semua pokok getah telah habis ditoreh. Aku bergegas pulang.
Esoknya, aktiviti menoreh kulakukan seperti biasa. Aku harus rajin. Harga getah semakin hari semakin tidak seberapa. Mujurlah setakat ini aku hanya hidup sebatang kara. Masih belum sesiapa yang perlu aku tanggungi. Jikalau tidak, kasihan juga pada mereka, jika sedemikian inilah kehidupan aku.
Untuk hari ketiga, burung hantu itu masih tetap kaku di atas busut itu. Matanya berkaca. Merah. Pandangannya sayu. Memandang aku seolah mahu memberitahu sesuatu yang tidak terluah. Kali ini sudah hilang rasa takut dan seram. Aku mendekati burung itu. Cuba menangkap.
Hairan, tidak ia lari apabila aku mendekati. Seolah ia tidak takut pada spesis manusia yang sememangnya suka berbuat kerosakan di atas muka bumi ini. Aku menghulurkan tangan untuk menyentuhnya. Hampir seinci telapak tangan kasarku menyentuhnya, ia berundur selangkah. Tapi tetap, matanya sayu memandangku. Sepantas, aku menarik semula tanganku daripada menyentuhnya. Betinakah ia? Mungkin takut terbatal wuduknya jika tersentuh dengan lelaki ajnabi. Bagusnya burung ini, tidak seperti segelintir manusia.
Herm, mengarut!
***
....dan kisah ini pun takde ending sebab ia tergantung setakat di sini.. seperti tajuknye. hehehe.# saya bosan, nak tido takut terlajak nak naik flight pagi esok. hehe. going back to Sabah soon, for the final semester. :D
Ala..xada sambungan ke.??huhuu
ReplyDelete