Alkisah maka tersebutlah sebuah cerita yang berlaku pada zaman dahulu kala. Di sebuah kampung yang namanya biarlah menjadi rahsia. Berdiamlah sepasang suami isteri yang hidup sangat bahagia. Baru sebulan mereka mendirikan rumah yang bertangga. Maka tibalah bulan puasa yang ditunggu oleh sekalian manusia.
Adapun sang suami ini, sepanjang hayatnya tidak pernah berpuasa. Maka berkahwinlah dia dengan seorang gadis desa, yang sangat kuat pegangan agama. Anak seorang tok lebai pula. Oh, sangatlah beruntung badan yang empunya.
Pada hari pertama berpuasa, sang suami demam demam sahaja. Asyik berbungkus dari pagi sampai ke senja. Almaklumlah kali pertama merasa. Terasa sangat letih dan dahaga. Terasa mahu sahaja dihabiskan air setelaga. Tapi mujurlah sang suami masih tidak terlupa, bahawa dirinye sedang menghadapi puasa. Seganlah pula dengan sang isteri yang tampak ceria bersahaja, sekalipun berpuasa sama sepertinya.
Maka sang isteri pula seorang yang taat tak terkira. Melihat suaminya yang demam demam sahaja. Bertanyalah isteri kepada suami, apakah yang dimahunye untuk menu berbuka. Maka sang suami yang dari pagi lagi asyik dahaga sahaja, terus meminta isterinya menyediakan air kelapa muda. Bukanlah sebiji sahaja yang dipinta. Malah enam biji kelapa muda, hanya untuknya seorang sahaja, minum sewaktu berbuka. Mengikut nafsu semata. Isteri tercinta hanya geleng kepala.
Pergilah sang isteri mengait kelapa. Tidak membantah suami tercinta. Setelah mendapat enam biji kelapa yang baik baik sahaja. Kelapa muda yang enak isinya. Maka berjalanlah sang isteri balik untuk persiapan berbuka.
Arakian, maka nak dijadikan cerita. Bertembunglah sang isteri dengan seorang makcik tua. Miskin dan berkelana pula. Hendak berbuka pun tiadalah juadah jua. Maka sang isteri yang baik hati, bersedekahlah ia sebiji kelapa muda untuk makcik tua. Semoga menjadi hidangan istimewa untuknye berbuka. Baliklah sang isteri dengan membawa kelapa muda yang lima.
Apabila sampai di rumah, sang suami mengira ngira kelapa yang dibawa. Tiadalah ia cukup enam melainkan lima sahaja. Bertanyalah sang suami kepada isteri tercinta, kemana perginya lagi satu kelapa muda. Maka berceritalah sang isteri dengan jujur, disedekahkannya sebiji kelapa untuk seorang makcik tua. Maka meradanglah sang suami mendengar cerita. Dituduh sang isteri tiada lagi sayang padanya. Diturut hati yang marah membara, maka sang isteri mahu diceraikannya. Dengan talak berapa tiadalah disebutkan dalam cerita.
Mujurlah sang isteri seorang yang bijaksana. Dilatih ibubapanya dengan agama yang secukupnya sejak kecil sehingga menjadi dewasa. Tiadalah ia melatah sahaja. Melainkan berdiplomasi dengan suaminya. Supaya ditangguhkan perceraian mereka barang lagi sejam dua. Menunggu dulu waktu berbuka. Berbuka bersama sama untuk terakhir kalinya.
Makanya, apabila azan Maghrib berkumandang di angkasa. Tebuklah sang isteri, sebiji kelapa muda untuk sang suami tercinta. Maka minumlah sang suami air kelapa, menghambat segala rasa dahaga, yang bertandang tanpa belas bergayut di tekaknya sahaja. Habis sahaja sebiji kelapa, sang isteri bertanya mahukah lagi untuk kelapa yang kedua? Maka sang suami menggeleng geleng sahaja. Perutnya sudah penuh jua, tiadalah lagi tempat kosong untuk diisi katanya. Lagipun kelapa yang dikait isterinya besar besar belaka.
Bertanyalah lagi isterinya. Bagaimana dengan perceraian kita? Seperti yang dijanjikan, sekarang telah tibalah masanya. Maka tercenganglah sang suami, “Eh, bila Abang cakap nak ceraikan Sayang? Tadi tu Abang lapar sangat, haus. Pertama kali puasa pulak tu. Jangan mara haaa.. sape yang tak sayang bini oooiii.. tambah tambah yang cantik dan soleh macam Sayang ni,hehe”.
Maka selepas itu, hiduplah mereka dengan aman bahagia sehingga beberapa keturunan lamanya. Begitulah seadanya.. =)
Nota Dinding: *Seperti yang selalu diceritakan oleh ayahandaku yang tercinta, Encik Shuhaimi Mahmud sedari aku kecil, untuk menghiburkan aku dikala aku tergolek di tepi dinding penat berpuasa. Aku mengubahnya siket siket dan translatenye dari loghat Kelantan pekat kepada bahasa yang semoga difahami oleh semua. Cerita ini masih meniti di bibirnya untuk adik adikku pula yang baru belajar puasa. Entah dongeng ataupun betul tiadalah aku mengetahuinya. Melainkan marilah kita cedok sedikit sebanyak pengajaran di dalamnya, itupun kalau korang jumpa.hehe. Salam Ramadhan Al-Mubarak! HishamShuhaimi =D
best best..
ReplyDeletesbb kelape xckup je nk cerai kan bini die..
hahhaha..
cari pengajaran yang tersurat dan tersirat.. bukan hanya cerita semata..hehe
ReplyDeletexD